MANILA, 29 April – Presiden Filipina Rodrigo Duterte hari ini berkata larangan sementara ke atas warganegara itu untuk bekerja di Kuwait kini dikekalkan, menambahkan kebuntuan mengenai layanan ke atas pekerja asing di negara Teluk itu.
Pada Februari lalu, Duterte telah mengenakan larangan ke atas pekerja untuk membuat perjalanan ke Kuwait berikutan insiden pembunuhan seorang pembantu rumah Filipina yang mana jasadnya ditemui disimpan dalam peti sejuk di negara itu.
Krisis itu semakin bertambah buruk selepas pihak berkuasa Kuwait minggu lalu meminta perwakilan Manila untuk meninggalkan negara itu berikutan kemunculan rakaman video yang menunjukkan kakitangan kedutaan Filipina membantu beberapa orang pekerja di Kuwait melarikan diri daripada majikan mereka.
Kedua-dua negara itu telah mengadakan rundingan mengenai perjanjian pekerja buruh yang dikatakan oleh para pegawai Filipina boleh membawa kepada pembatalan larangan itu, namun peningkatan ketegangan baru-baru ini telah meletakkan perjanjian itu dalam keraguan.
“Larangan itu dikekalkan. Tiada lagi pengambilan pekerja terutama sekali pekerja domestik,” kata Duterte kepada para wartawan di kediaman asalnya di selatan bandar Davao.
Sekitar 262,000 warga Filipina bekerja di Kuwait, hampir 60 peratus darinya adalah pekerja domestik, menurut jabatan luar Filipina.
Minggu lalu, Filipina telah memohon maaf ke atas rakaman video itu akan tetapi para pegawai Kuwait mengumumkan mereka menghalau perwakilan Manila dan memanggil semula perwakilannya daripada negara Asia Tenggara itu.
Duterte hari ini menjelaskan bahawa situasi di Kuwait sebagai ‘bencana.’
Dia berkata dia akan membawa pulang pembantu rumah Filipina yang mengalami penderaan tatkala dia merayu kepada para pekerja yang mahu bertahan di negara kaya minyak itu. – AFP