MANILA, 20 MAC – Filipina kekal sebagai negara berdaulat dan bukan wilayah mana-mana kuasa asing, tegas Istana Malacanang hari ini, menolak dakwaan bahawa negara itu telah menyerahkan kedaulatannya susulan bekas Presiden Rodrigo Duterte dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Kami tidak pernah berhasrat untuk menjadi wilayah kepada mana-mana pihak kerana kami adalah sebuah negara merdeka,” kata Timbalan Setiausaha Pejabat Komunikasi Presiden dan Pegawai Akhbar Istana, Claire Castro.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada Senator Imee Marcos, yang mempersoalkan sama ada Filipina kini telah menjadi ‘wilayah The Hague,’ lapor agensi berita Filipina (PNA).
Dalam satu sesi pendengaran Senat mengenai penahanan Duterte, Marcos meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan kerajaan membenarkan pihak luar mengekstradisi bekas pemimpin negara itu.
Bagaimanapun, Malacanang menegaskan bahawa pentadbiran negara hanya mematuhi undang-undang serta memenuhi kewajipan yang termaktub dalam rangka perundangan sedia ada.
Castro turut menjelaskan bahawa kerajaan bertindak mengikut Akta Republik (RA) 9851, yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menyerahkan atau mengekstradisi individu yang dituduh di Filipina ke mahkamah antarabangsa yang berkenaan.
Duterte kini berdepan pertuduhan di ICC atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan perang dadah yang berlangsung antara 1 November 2011 hingga 16 Mac 2019.
Beliau kini ditahan di Pusat Tahanan ICC di The Hague, Belanda dan dijadualkan hadir di mahkamah antarabangsa itu pada 23 Sept bagi mengesahkan pertuduhan terhadapnya. – Bernama
