Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina kini hadapi taufan keempat dalam sebulan

    MANILA, 11 NOV – Ribuan orang mencari tempat perlindungan dan pelabuhan ditutup di Filipina hari ini, menurut pegawai, ketika negara yang sering dilanda bencana itu diserang oleh taufan lain yang keempat dalam tempoh kurang daripada sebulan.

    Taufan Toraji melanda berhampiran bandar Dilasag, kira-kira 220 kilometer timur laut ibu kota, Manila, menurut agensi cuaca nasional.

    “Kami sedang dilanda angin kencang dan hujan lebat. Beberapa pokok tumbang dan bekalan elektrik telah terputus sejak semalam,” kata Merwina Pableo, ketua pertahanan awam di bandar Dinalungan berhampiran Dilasag, kepada AFP.

    Penyelamat berkata kira-kira 7,000 orang telah dipindahkan dari kawasan pesisir serta kawasan yang mudah banjir dan tanah runtuh di Aurora dan Isabela, dua wilayah pertama yang dilanda sebelum Toraji bergerak masuk ke kawasan pergunungan di pedalaman pulau utama Luzon.

    Secara keseluruhan, kerajaan mengarahkan 2,500 kampung untuk dipindahkan (penduduknya) kelmarin, walaupun pejabat bencana nasional masih belum mempunyai jumlah penuh mangsa yang dipindahkan setakat hari ini.

    Penduduk membawa barangan mereka ketika sungai semakin melimpah susulan hujan lebat akibat Taufan Toraji di Bandar Ilagan, wilayah Isabela, utara Filipina kelmarin. – AP

    Di kawasan pendaratan taufan di Dilasag, seorang guru sekolah bernama Glenn Balanag, 31, merakam serangan angin berkelajuan 130 kilometer sejam yang menggoncang pokok kelapa di sekitar rumah kampungnya.

    “Pokok besar tumbang dan kami mendengar bumbung beberapa rumah rosak. Hujan masih berterusan dan sungai berdekatan semakin naik,” katanya kepada AFP.

    Agensi cuaca nasional memberi amaran mengenai angin kuat dan hujan lebat yang dijangka melebihi 200 milimeter di utara negara itu, serta risiko sederhana hingga tinggi gelombang ribut – gelombang besar setinggi tiga meter di pantai utara.

    Sekolah dan pejabat kerajaan ditutup di kawasan yang dijangka terjejas teruk oleh taufan terbaru itu.

    Hampir 700 penumpang terkandas di pelabuhan di dalam atau berhampiran laluan taufan, menurut laporan pengawal pantai hari ini, dengan perkhidmatan cuaca memberi amaran bahawa perjalanan laut berisiko untuk semua jenis atau berat kapal.

    “Semua pelaut mesti kekal di pelabuhan atau, jika sedang dalam pelayaran, cari perlindungan atau pelabuhan selamat secepat mungkin sehingga angin dan ombak reda,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda