Friday, February 7, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina lancarkan kempen vaksinasi

    MANILA, FILIPINA, 1 MAC – Kerajaan Filipina hari ini melancarkan kempen vaksinasi bagi mengekang penularan wabak koronavirus paling teruk di salah sebuah negara Asia Tenggara namun dalam masa yang sama, berdepan masalah bekalan dan tentangan awam, yang diharapkannya reda dengan menginokulasi pegawai tertinggi terlebih dahulu.

    Pegawai kabinet bersama dengan petugas kesihatan, tentera dan polis adalah antara yang pertama akan divaksinasi di enam buah hospital di Metropolitan Manila, selepas ketibaan sebanyak 600,000 dos vaksin disumbangkan oleh China.

    Di sebuah Hospital Umum Kerajaan di Manila, pengarah hospital, Dr Gerardo Legaspi merupakan yang pertama diinokulasi dengan penyuntikan vaksin disiarkan secara langsung diikuti oleh pegawai kabinet dan pegawai Jabatan Kesihatan.

    “Marilah kita dapatkan vaksinasi, selamatkan nyawa setiap hari. Kita perlu melangkah ke hadapan,” kata Datuk Bandar Manila, Isko Moreno dalam satu ucapan di hospital, menambah dia akan mendapatkan suntikan vaksin dalam masa kira-kira seminggu selepas petugas kesihatan.

    Filipina merupakan antara negara terakhir Asia Tenggara menerima vaksin akibat penangguhan penghantaran, meskipun ia melaporkan lebih daripada 578,300 jangkitan, termasuk 12,322 kematian, jumlah kedua tertinggi di Asia Tenggara selepas Indonesia. Perintah berkurung dan kuarantin ketat mengakibatkan kemerosotan ekonomi terburuk negara di rantau itu dan mencetuskan pengangguran serta kebuluran.

    “Ekonomi kita benar-benar merosot, maka lebih awal vaksinasi ini dilancarkan dan lebih cepat ia dilaksanakan, maka lebih baik,” kata Presiden Rodrigo Duterte memberitahu satu sidang media disiarkan secara langsung lewat kelmarin selepas menyaksikan penyerahan vaksin China di sebuah pangkalan udara di ibu negara. – AP

    Setiausaha Kesihatan, Francisco Duque III (kanan) menyuntik vaksin Sinovac ke lengan doktor Eileen Aniceto semasa kumpulan pertama kempen vaksinasi di Lung Center of Philippines di bandar Quezon, 1 Mac. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda