Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina larang kanak-kanak keluar rumah

    MANILA, 23 JULAI – Filipina hari ini melarang jutaan kanak-kanak keluar rumah, tatkala hospital-hospital bersedia bagi peningkatan kes koronavirus dicetuskan oleh varian Delta yang sangat mudah berjangkit yang menjejaskan negara-negara jiran.

    Hampir setengah daripada 47 kes varian lebih memudaratkan telah dikesan di dalam negara, menurut jabatan kesihatan, meningkatkan kebimbangan mengenai peningkatan mendadak jumlah jangkitan yang telah mencecah 1.5 juta sejak permulaan pandemik.

    “Varian Delta lebih mudah berjangkit dan membawa maut,” kata jurucakap presiden, Harry Roque sementara beliau mengumumkan peraturan-peraturan lebih ketat bagi kawasan ibu negara dan empat wilayah di mana kes-kes telah meningkat.

    Di samping had kapasiti lebih ketat bagi makan di restoran, salon kecantikan dan perhimpunan keagamaan, kanak-kanak berusia lima hingga 17 tahun telah diarahkan duduk
    di rumah.

    Ia diumumkan dua minggu selepas kerajaan menarik balik sekatan terhadap orang bawah umur keluar rumah yang telah dikuatkuasakan sejak Mac 2020 tetapi kerap diingkari.

    Kerajaan sebelum ini telah menjustifikasikan langkah drakonian itu dengan memetik risiko kanak-kanak dijangkiti virus dan menjangkiti ahli keluarga yang tua.

    Kumpulan penyelidikan bebas OCTA, yang memberi nasihat kepada kerajaan mengenai tindak balas pandemik, semalam menyeru bagi ‘sekatan setempat’, melanjutkan waktu perintah berkurung dan arahan duduk di rumah bagi kanak-kanak.

    Kumpulan itu “percaya bahawa pertambahan dalam tahap awal telah bermula di kawasan ibu negara,” Ranjit Rye dari OCTA berkata dalam satu kenyataan, memberi amaran bahawa ia mungkin dicetuskan oleh varian Delta.

    Jabatan kesihatan menyatakan bahawa pemeriksaan-pemeriksaan sedang dijalankan bagi memastikan bahawa hospital-hospital mempunyai katil, ubat, tangki oksigen dan kakitangan yang mencukupi untuk menangani kemungkinan peningkatan kes yang mendadak. – AFP

    Seorang petugas perubatan sukarelawan menyuntik vaksin COVID-19 Sinovac kepada seorang pemandu basikal roda tiga semasa kempen vaksinasi bagi petugas barisan depan ekonomi di Manila pada 20 Julai lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda