Filipina lulus penanaman beras emas GMO

MANILA, 23 JULAI – Filipina hari ini menjadi negara pertama di dunia yang meluluskan pengeluaran ‘beras emas’, beras yang diubah suai secara genetik (GMO) dan diharap dapat memerangi masalah kebutaan di kalangan kanak-kanak serta menyelamatkan nyawa di negara membangun.

Satu permit keselamatan bio yang dikeluarkan oleh badan pengawal kerajaan membuka laluan kepada beras itu – diperkaya dengan beta karotena untuk menjadikannya lebih berkhasiat – untuk ditanam oleh petani di seluruh negara, kata penciptanya.

“Ia adalah langkah yang benar-benar penting untuk projek kami disebabkan ia bermakna kami sudah melepasi fasa pengawalan peraturan dan beras emas akan diisytiharkan sebagai selamat seperti beras biasa,” beritahu Russell Reinke daripada Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa (IRRI) kepada AFP sebelum pengumuman itu.

Langkah seterusnya adalah “mengeluarkan beberapa kilogram benih dan menggandakannya supaya ia boleh diperoleh secara meluas,” kata beliau.

IRRI telah menghabiskan dua dekad bekerjasama dengan Jabatan Pertanian-Institut Penyelidikan Beras Filipina untuk membangunkan beras emas – dinamakan sempena warnanya yang kuning terang.

Ia merupakan beras pertama yang diubah suai secara genetik untuk diusahakan secara komersial di Selatan dan Asia Tenggara, kata pegawai hari ini.

Beras emas telah menerima tentangan daripada kumpulan alam sekitar yang membantah penanaman makanan yang diubah secara genetik. Sekurang-kurangnya sebuah sawah ujian di Filipina telah diserang oleh aktivis.

“Kuantiti terhad benih mungkin mula diedarkan kepada petani Filipina di wilayah tertentu pada tahun depan,” kata Rinke.

Beras biasa, makanan asasi ratusan juta penduduk terutamanya di Asia, menghasilkan beta-karotena dalam tanaman, namun ia tidak ditemui dalam bijirin.

“Satu-satunya perubahan yang telah kami lakukan adalah menghasilkan beta-karotena dalam beras berkenaan,” kata Reinke. – AFP