MANILA, 1 Mac – Filipina berkata hari ini ia sedang berunding dengan firma negeri China untuk usaha mencari gali dan mengeluarkan sumber tenaga di Laut China Selatan, dalam satu perjanjian yang disifatkan oleh Presiden Rodrigo Duterte sebagai bersamaan dengan ‘pemilikan bersama’ kawasan yang dipertikaikan itu.
Kedua-dua negara telah lama terbabit dalam perbalahan berhubung tuntutan mereka ke atas rantau tersebut – dengan China menuntut hampir keseluruhan laut – tetapi Duterte dalam beberapa tahun ini telah melembutkan dasar pemimpin sebelumnya yang menentang tuntutan Beijing.
Duterte berkata semalam satu pengaturan untuk menjadikan dua pihak menuntut pemilik bersama laut strategik dan kaya dengan minyak dan gas itu adalah lebih baik daripada ‘pembunuhan’ tentera Filipina dalam perang dengan China. “Sekarang tawaran Beijing adalah usaha mencari gali bersama, yang bersamaan dengan pemilikan bersama. Ia seperti kedua-dua kami akan menjadi pemilik. Saya fikir ia adalah lebih baik daripada berkelahi,” kata beliau ketika satu lawatan ke bandar selatan Marawi.
Rundingan di antara Filipina dan China berhubung usaha mencari gali di Laut China Selatan dikemukakan oleh Setiausaha Luar Negeri Filipina, Alan Peter Cayetano pada bulan lalu. Jurucakap presiden Harry Roque memberikan lebih banyak butir-butir hari ini, menyatakan rundi-ngan sedang dilancarkan di antara jabatan tenaga Filipina dan firma negeri China, dan usaha mengeluarkan sumber tenaga sudah dikemukakan dalam rundingan.
Beliau tidak menyatakan kawasan laut yang khusus yang sedang dibincangkan. Beberapa buah negara seperti Brunei, Malaysia dan Vietnam juga menuntut kesemua atau sebahagian daripada laut berkenaan. Cadangan kejasama di antara Manila dan Beijing telah menimbulkan kebimbangan di kalangan negara Asia Tenggara sebelum ini. – AFP