MANILA, 15 OKT – Filipina dan Malaysia menyuarakan minat untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan serta usaha tindak balas bencana, menurut kenyataan Malacanang hari ini, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Rancangan untuk memperkukuh kerjasama itu dibangkitkan ketika Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr. bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Istana Malacanang, Manila kelmarin.
Dalam pertemuan itu, Marcos Jr. dan Ahmad Zahid membincangkan bagaimana kedua-dua negara dapat bekerjasama untuk memperkukuh daya tahan bencana, menurut Pejabat Komunikasi Presiden (PCO).
Ahmad Zahid menyebut mengenai pasukan khas Malaysia yang dikenali sebagai SMART Team, yang boleh ditugaskan ke Filipina semasa taufan dan bencana dengan persetujuan Presiden.
Marcos Jr menyambut baik tawaran daripada Malaysia dan berharap ia dapat direalisasikan ‘secepat mungkin apabila semua pihak bersedia.’
“Kami bertukar pandangan mengenai pengurangan risiko bencana dan pengurusan, dan saya berterima kasih atas tawaran Malaysia untuk bekerjasama dalam sektor kritikal ini untuk usaha tindak balas dan menyelamat di masa hadapan,” kata Marcos Jr dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau juga menyatakan hasrat untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan kemajuan teknologi melalui pendidikan teknikal. – Bernama