NEW CLARK CITY, FILIPINA, 29 NOV – Malaysia yakin Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) dapat menyelesaikan beberapa perkara berbangkit, terutamanya penambahbaikan di beberapa venue, sebelum bermulanya upacara pembukaan rasmi Sukan SEA ke-30 di Filipina Arena, Manila, Sabtu ini.
Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA ke-30, Datuk Megat Zulkarnain Omardin mendedahkan, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pegawai Eksekutif PHISGOC, Ramon Suzara malam tadi, bagi membincangkan beberapa masalah yang melanda tuan rumah, dalam memastikan temasya dwi-tahunan berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Media tempatan di sini, dilaporkan membidas PHISGOC susulan kegagalan mereka dalam menyelesaikan beberapa perkara berbangkit, sehingga mengundang kritikan rakyat negara berkenaan, terutamanya di laman sosial. – Bernama