MANILA, 12 MEI – Berjuta-juta rakyat Filipina sanggup beratur panjang dan berpanas terik hari ini untuk mengundi dalam pilihan raya separuh penggal yang banyak dipengaruhi oleh sengketa hangat antara Presiden Ferdinand Marcos dan Naib Presiden yang didakwa, Sara Duterte.
Dengan suhu mencecah 34 darjah Celsius di beberapa kawasan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (Comelec), George Garcia memaklumkan bahawa beberapa mesin mengundi mengalami masalah ‘terlebih panas’.
“Ia melambatkan proses pengundian,” katanya kepada media di sebuah penjara di selatan Manila yang turut menjadi lokasi membuang undi bagi banduan.
“Disebabkan cuaca terlalu panas, dakwat pada kertas undi tidak kering serta-merta, menyebabkan ia melekat pada mesin pengimbas,” tambahnya, sambil menjelaskan bahawa pegawai di beberapa lokasi terpaksa menghalakan kipas elektrik ke arah mesin.
Pilihan raya kali ini akan menentukan lebih 18,000 jawatan, daripada kerusi Dewan Perwakilan hinggalah ke jawatan peringkat majlis tempatan yang sengit dipertandingkan.
Namun, perebutan kerusi Senat menjadi tumpuan utama kerana berpotensi membawa kesan besar terhadap pemilihan presiden pada tahun 2028.
Sebanyak 12 senator yang dipilih hari ini akan membentuk separuh daripada juri dalam perbicaraan pemecatan Duterte yang dijangka berlangsung tahun ini, yang boleh mengakibatkan dia disingkir secara kekal daripada jawatan awam. – AFP
