MANILA, 4 JULAI – Setiausaha kehakiman Filipina berkata hari ini, beliau telah meminta bantuan teknikal Jepun untuk mencari berpuluh-puluh peserta sabung ayam yang dibunuh dan dibuang di sebuah tasik di selatan Manila oleh polis yang terlibat dengan aktiviti jenayah.
Kes itu dikaitkan dengan beberapa kehilangan misteri pada 2022 dalam industri sabung ayam terbesar negara Asia Tenggara itu, yang dikenali sebagai ‘sabong.’
Jumlah kes yang tidak dapat diselesaikan telah meningkat sejak kemunculan saksi di televisyen – setelah dikenal pasti sebagai Julie ‘Dondon’ Patidongan, calon datuk bandar baru-baru ini – yang berkata dia mengetahui mayat telah tenggelam di Tasik Taal.
Setiausaha Kehakiman, Crispin Remulla, berkata hari ini dia kini mempunyai beberapa saksi yang boleh memberi keterangan berkaitan orang yang hilang dan dibuang itu.
Tambahnya, Seramai 15 pegawai polis negara itu yang tidak didedahkan namanya sedang disiasat dan menjalankan tugas terhad.
“Mereka melakukan pembunuhan itu,” katanya.
“Saya baharu sahaja menandatangani surat untuk kerajaan Jepun meminta bantuan bagi membolehkan kami melakukan pemetaan dasar tasik dan teknologi lain yang kami perlukan,” tambah Remulla.
“Kami memerlukan pendekatan saintifik di sini. Kami tidak boleh bergantung pada nasib,” ujarnya. – AFP


