Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina perbaharui rayuan pengampunan Veloso

    MANILA, 9 JAN – Filipina telah memperbaharui rayuannya untuk pengampunan terhadap seorang wanita warga Filipina yang dihukum mati di Indonesia hari ini, beberapa jam sebelum presiden negara itu dijadualkan tiba di Manila untuk lawatan rasmi.

    Ia adalah percubaan peringkat tinggi terbaharu untuk menyelamatkan Mary Jane Veloso, yang ditangkap di Indonesia pada 2010 sambil membawa beg pakaian yang dilapisi dengan 2.6 kilogram heroin dan kemudiannya dijatuhkan hukuman mati.

    Dia mendapat penangguhan hukuman pada saat akhir daripada skuad penembak pada 2015 selepas seorang wanita yang disyaki merekrutnya ditahan di Filipina.

    “Kami sedang berusaha untuk melihat sama ada kami boleh mencari jalan ke arah menyelesaikan kes itu tidak lama lagi termasuk pengampunan,” kata Setiausaha Luar Filipina, Enrique Manalo kepada pemberita selepas bertemu dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, Retno Marsudi di Manila.

    Pada pertemuan mereka, Manalo ‘mengulangi permintaan Filipina agar pengampunan diberikan kepada Veloso’, kata jurucakap jabatan asing Teresita Daza kepada pemberita. Manalo sebelum ini memohon pengampunan untuk Veloso pada 2022. Presiden Indonesia, Joko Widodo, yang dijadualkan untuk melepaskan jawatan pada bulan Oktober selepas mencapai had akhir dua penggal, akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Filipina, Ferdinand Marcos esok.

    Ibu bapa dan anak-anak Veloso, yang akan genap berusia 39 tahun esok, dijangka menyertai protes berhampiran istana. – AFP

    Jokowi (kanan) berjabat tangan dengan Manalo semasa kunjungan hormat menteri pada Mesyuarat Menteri Luar Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Jakarta. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda