MANILA, 27 JULAI – Filipina memperoleh kira-kira AS$235 juta ikrar pelaburan daripada sektor perniagaan Malaysia, kata Presiden Ferdinand Marcos Jr. hari ini.
“Komitmen pelaburan yang kami terima setakat ini bernilai sekitar AS$235 juta, yang merupakan petunjuk baik bahawa terdapat minat yang kukuh dari Malaysia untuk melabur di Filipina,” kata Marcos pada Forum Perniagaan Filipina di Kuala Lumpur, lapor agensi berita Filipina (PNA).
Marcos turut gembira menyaksikan penglibatan yang ‘sangat menarik’ antara syarikat dan pemimpin perniagaan Malaysia yang boleh memberikan manfaat bersama untuk sektor swasta kedua-dua negara.
“Pada masa ini, pelaburan Malaysia sudah pun memberikan sumbangan berharga kepada Filipina serta pembangunan ekonominya, khususnya dari segi pengurusan keterjaminan makanan, pembangunan infrastruktur serta penjanaan pekerjaan untuk rakyat Filipina.
“Menerusi transformasi baharu ini, ia membuka banyak peluang baharu selain akan meningkatkan lagi tahap perdagangan yang telah kami capai sejak beberapa tahun lalu,” kata Marcos yang dalam rangka lawatan negara sulungnya selama tiga hari ke Malaysia.
Marcos memberi jaminan kepada komuniti perniagaan Malaysia bahawa Filipina telah menunjukkan ‘tanda pemulihan yang sihat’ daripada kemelesetan ekonomi akibat pandemik.
Beliau berharap kedua-dua negara dapat meneroka potensi besar untuk mencapai kecemerlangan pertumbuhan, serta produktiviti dan kadar simpanan yang lebih tinggi selain peningkatan kreativiti. – Bernama