Saturday, February 15, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina raih pingat emas pertama

    HARBIN, 14 FEB – Pasukan curling Filipina telah mencipta kejayaan besar di Harbin, meraih pingat pertama negara itu di Sukan Musim Sejuk Asia dengan kemenangan dalam perlawanan akhir lelaki menentang Korea Selatan hari ini.

    Pasukan yang terdiri daripada Marc Pfister, Alan Frei, Christian Haller, Enrico Pfister dan Benjo Delarmente itu meraih pingat emas dengan kemenangan 5-3 di Arena Curling Pingfang Harbin.

    Jawatankuasa Olimpik Filipina segera meraikan kejayaan tersebut dengan hantaran di Instagram untuk menandakan kejayaan pingat emas bersejarah itu.

    “Ini adalah pingat pertama Filipina di Sukan Musim Sejuk Asia dan pencapaian tertinggi untuk atlet Asia Tenggara dalam sejarah sukan ini! Pencapaian yang sungguh luar biasa!” kata hantaran tersebut. “Awda membuat seluruh negara berbangga!”

    Curling mendapat perhatian setiap empat tahun sekali di Sukan Olimpik Musim Sejuk, di mana pemain menyapu batu di atas gelanggang ais yang ditayangkan di seluruh dunia.

    Marc Pfister (kanan) dari Filipina bertanding menentang Korea Selatan semasa perlawanan akhir curling lelaki di Sukan Musim Sejuk Asia ke-9 di Harbin, China, kelmarin. – AP

    Filipina diterima sebagai ahli Persatuan Curling Dunia pada September 2023, bersama Pakistan dan Puerto Rico, selain memulakan usaha untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2026.

    Pasukan lelaki itu berpusat di Switzerland dan diketuai oleh Marc Pfister, yang sebelum ini mewakili Switzerland di tiga Kejohanan Dunia sebelum menukar negara.

    Dia dan abangnya, Enrico Pfister, adalah antara empat pemain curling yang dilahirkan di Switzerland dan layak mewakili Filipina melalui ibu mereka yang berasal dari Filipina.

    Pasukan dari 34 negara yang merangkumi Saudi Arabia di barat benua hingga Singapura dan Filipina di tenggara, bertanding dalam 10 sukan selama 11 hari di Sukan Harbin yang dijadualkan berakhir hari ini. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda