Filipina sedia fasiliti terbaik

CLARK, FILIPINA, 27 NOV – Tiga hari menjelang upacara pembukaan Sukan SEA ke-30, Pusat Konvensyen ASEAN di Pampanga, Bandar Clark, di sini, yang menempatkan pusat media utama dan pusat penyiaran antarabangsa (IBC) kini bersedia menyambut petugas media ASEAN serta antarabangsa yang akan membuat liputan temasya dwitahunan itu.

Tinjauan Bernama di lokasi mendapati pusat media dilengkapi dengan pelbagai peralatan seperti komputer meja, kerusi urut, dewan makan, ruang sosial media, dan bilik Kawalan Utama, yang menerima banyak pujian terutama wartawan dari negara anggota ASEAN yang akan membuat liputan sukan di rantau ini.

Nguyen Tuan Anh dari Televisyen Vietnam (VTV) yang membuat liputan Sukan SEA buat pertama kali, menyatakan beliau amat kagum dengan kemudahan yang disediakan di Pusat Konvensyen ASEAN, meskipun pihak Jawatankuasa Penganjur Sukan

Asia Tenggara Filipina (PHISGOC) dikatakan mengejar masa untuk menyiapkannya sebelum acara perasmian Sabtu ini.

Beliau berkata seramai 35 orang kru VTV termasuk jurukamera akan membuat liputan Sukan SEA 2019 di tiga kluster utama – Metro Manila, Clark dan Subic, serta berharap atlet Vietnam akan mengutip 60 hingga 70 pingat emas terutama dalam acara bola sepak kategori lelaki dan wanita.

Berkongsi pandangan sama adalah wartawan Jakarta Post, Rahmat Mega Putra yang berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan di Pusat Media Clark. – Bernama

Suasana di Pusat Konvensyen ASEAN yang menempatkan Pusat Media Utama dan Pusat Penyiaran Antarabangsa bagi liputan Sukan SEA Filipina 2019. – Bernama