MANILA, 30 NOV – Filipina akan menyekat akses kepada gergasi mata wang kripto, Binance, kata seorang pegawai hari ini, sebagai sebahagian daripada usaha mengekang platform perdagangan dalam talian yang beroperasi di negara itu tanpa lesen.
Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) mengumumkan pada Selasa bahawa Binance tidak didaftarkan di Filipina dan oleh itu tidak dibenarkan untuk menjual atau menawarkan sekuriti di negara itu. Rakyat Filipina boleh mengeluarkan pelaburan mereka sebelum akses kepada platform dan aplikasi Binance disekat, yang dijangka berlaku ‘dalam tiga bulan’, katanya.
Platform perdagangan dalam talian lain, termasuk OctaFX dan Mitrade, akan disekat dalam beberapa bulan akan datang selepas SEC mendapati mereka juga beroperasi tanpa lesen yang diperlukan.
“Kami ingin memastikan keselamatan pelaburan awam,” kata Pesuruhjaya SEC, Kelvin Lester Lee kepada AFP hari ini.
“Entiti-entiti ini diberi peluang, beberapa kali, sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk mendaftar. Hakikat bahawa ramai daripada mereka memilih untuk tidak berbuat demikian, memberikan isyarat kepada kami.”
SEC juga meminta Google dan Meta untuk menghentikan iklan Binance daripada muncul di Filipina. “Kami bukan satu-satunya negara yang melakukan ini, banyak negara lain juga sedang melakukan perkara yang sama,” kata Lee.
“Jika awda tidak berdaftar, awda secara automatik akan menghadapi masalah.” – AFP
