MANILA, 13 NOV – Seramai 346 pekerja Filipina di luar negara yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan buruh paksa di pusat penipuan dalam talian di Myanmar telah dibawa pulang oleh kerajaan Filipina kelmarin, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Dalam sidang media di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA), Jabatan Pekerja Migran (DMW) memaklumkan bahawa kumpulan itu merupakan kumpulan terbesar dari Myanmar setakat ini.
Setiausaha Pekerja Migran, Hans Leo Cacdac berkata semua 346 mangsa berada dalam keadaan baik dan akan menerima kaunseling psikososial serta pemeriksaan kesihatan daripada Jabatan Kesihatan (DOH).
“Kami telah bertemu mereka dan memberikan jaminan bantuan kerajaan, khususnya dari segi pengangkutan dan penginapan,” katanya.
Kumpulan itu tiba di Terminal 1 NAIA dengan penerbangan Philippine Airlines PR8502 sekitar 3.25 petang dan kemudiannya dibawa ke sebuah lokasi perlindungan yang dirahsiakan atas faktor keselamatan.
Cacdac berkata usaha membawa pulang berkenaan dilaksanakan atas arahan Presiden Ferdinand R Marcos Jr untuk memastikan semua rakyat Filipina yang diperdagangkan ke Myanmar dan negara jiran kembali dengan selamat. – Bernama/PNA

