Friday, January 10, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina tahan 400 warga asing dalam serbuan pusat penipuan

    MANILA, 9 JAN – Seramai 400 warga asing ditahan kelmarin dalam serbuan besar-besaran ke atas sebuah pusat penipuan dalam talian yang disyaki beroperasi di Manila, menurut Biro Imigresen kebangsaan.

    Pihak berkuasa menyerbu sebuah bangunan dan menemui pekerja yang didakwa terlibat dalam operasi penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa luar negara.

    Kebimbangan antarabangsa semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini mengenai operasi penipuan serupa di Asia, yang sering dikendalikan oleh mangsa pemerdagangan manusia yang ditipu atau dipaksa mempromosikan pelaburan kripto palsu dan penipuan lain.

    “Operasi mereka didapati melanggar undang-undang imigresen dan menimbulkan risiko besar kepada orang awam,” kata Ketua Bahagian Perisikan Biro Imigresen, Fortunato Manahan, dalam satu kenyataan.

    Presiden Ferdinand Marcos pada Julai lalu mengumumkan larangan operasi permainan dalam talian Filipina (POGO) menjelang akhir 2024.

    Gambar menunjukkan peranti yang digunakan di pusat penipuan di Manila yang telah ditutup oleh polis pada 18 Julai lalu. – AFP

    Kerajaan mendakwa bahawa POGO sering digunakan sebagai perlindungan oleh kumpulan jenayah terancang untuk pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram, penipuan dalam talian, penculikan, malah pembunuhan.

    Biro Imigresen berkata bahawa mereka telah memantau ‘aktiviti mirip POGO’ oleh syarikat yang diserbu itu ‘sejak beberapa waktu’.

    Menurut jurucakap biro, Dana Sandoval, warga asing yang ditahan kebanyakannya warga China, sedang menjalani prosedur pendaftaran. Mereka akan ditahan sementara menunggu proses pengusiran, kata biro tersebut.

    Laporan oleh Institut Keamanan Amerika Syarikat yang berpangkalan di Washington, pada Mei lalu menyatakan bahawa penipuan dalam talian menyasarkan jutaan mangsa di seluruh dunia dan menghasilkan pendapatan tahunan sebanyak AS$64 bilion.

    Ia menganggarkan industri ini menggaji setengah juta pekerja, termasuk 15,000 di Filipina, yang kebanyakannya direkrut melalui media sosial dan kemudian dipaksa menjalankan penipuan serta menghadapi penyeksaan jika gagal memenuhi kuota. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda