MANILA, 29 JUN – Pengawal pantai Filipina berkata hari ini ia akan menamatkan pencarian selama seminggu bagi enam kru nelayan yang hilang setelah bot mereka karam akibat cuaca buruk di perairan timur negara itu.
Bot Genesis 2 karam sekitar 337 kilometer di timur pulau selatan Mindanao pada 22 Jun. Seramai 14 anak kapal telah diselamatkan dan mayat tiga yang lain ditemui, kata pegawai pengawal pantai tempatan Leftenan Gred Muda, Elmar Mesina.
“Hanya terdapat kemungkinan kecil untuk mengesan lebih ramai mangsa yang terselamat,” kata Mesina, ketua balai pengawal pantai di wilayah Davao Oriental, apabila ditanya oleh AFP sama ada keenam-enam itu dianggap mati.
Ibu pejabat pengawal pantai di Manila mengumumkan hari ini bahawa ia telah mengesyorkan komandernya ‘menamatkan’ pencarian.
Ia memetik anak kapal yang diselamatkan sebagai berkata enam lelaki itu, termasuk kapten, mungkin terperangkap di dalam kapal, yang tenggelam di tengah-tengah ombak besar di kawasan di mana dasar laut sedalam kira-kira 1,500 meter.
Sebuah kapal peronda pengawal pantai meninggalkan kawasan itu kelmarin selepas melakukan pencarian, kata Mesina.
Punca kemalangan masih dalam siasatan. – AFP
