KUALA LUMPUR, 30 OKT – Filipina, selaku pengerusi ASEAN 2026 akan terus memperjuangkan usaha membantu Myanmar mencari penyelesaian aman dan berkekalan terhadap krisis yang sedang melanda negara itu.
Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. menyifatkan situasi di Myanmar sebagai “luka ASEAN yang belum sembuh,” sambil menegaskan bahawa blok serantau itu mesti mengekalkan tumpuan terhadap isu berkenaan dan terus mengamalkan pendekatan berasaskan penglibatan.
“Pedih bagi kita melihat negara jiran kita menderita akibat apa yang pada asasnya adalah perang saudara.
“Oleh itu, kita mesti terus berhubung dengan semua pihak berkepentingan, meneruskan rundingan dan mencari jalan baharu untuk menangani keadaan ini.
“Itulah yang kami ingin lakukan sepanjang kepengerusian ASEAN nanti,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.

Marcos berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir pada Selasa.
Apabila ditanya sama ada pemimpin politik Myanmar akan dijemput menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan di bawah kepimpinan Filipina, Marcos berkata, “Saya sangat berharap begitu. Pada dasarnya, saya seorang yang optimis, jadi ya, saya berharap kita akan sampai ke tahap itu.”
Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar, U Hau Khan Sum menghadiri sidang kemuncak yang diadakan di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober.
Marcos menegaskan bahawa walaupun terdapat batasan terhadap apa yang ASEAN boleh lakukan di Myanmar, blok itu tetap perlu meneruskan penglibatan dan memberi panduan kepada semua pihak yang terlibat.
“Kita (ASEAN) tidak boleh menutup pintu dan enggan mendengar mana-mana pihak di Myanmar. Kita mesti terus berhubung dengan semua pihak berkepentingan, bukan sahaja kerajaan dan birokrasi, tetapi juga parti pembangkang.
“Hasil terbaik untuk Myanmar ialah kembali berintegrasi sepenuhnya ke dalam ASEAN demi manfaat ekonomi, rakyat dan keamanan serantau,” katanya.
Mengakui kemajuan di Myanmar ‘agak perlahan’ sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Marcos tetap optimis kerana perkembangan terkini menunjukkan tanda-tanda positif.
“Saya gembira untuk menyatakan bahawa ada sedikit kemajuan. Dalam tempoh setahun lalu, kita melihat beberapa perubahan. Sebab itulah saya sentiasa optimis bahawa jika kita terus di landasan ini, keadaan akan terus bertambah baik, tetapi kita tidak boleh berhenti,” katanya. – Bernama

