Sunday, April 13, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina tidak akan bertindak balas terhadap tarif baharu AS

    MANILA, 10 APRIL – Kerajaan Filipina tidak akan bertindak balas terhadap tarif 17 peratus yang dikenakan baru-baru ini ke atas barangan tempatan yang memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada langkah Liberation Day oleh Presiden Donald Trump, kata Setiausaha Perdagangan Filipina, Maria Cristina Roque, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

    Bercakap kepada pemberita di luar Pameran Makanan Kebangsaan di Mandaluyong City kelmarin, Roque berkata pentadbiran Presiden Ferdinand Marcos Jr, memilih pendekatan secara konstruktif dengan memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan hubungan perdagangan dengan AS.

    “Tidak, kami tidak merancang sebarang tindakan balas. Kami memilih untuk bergerak secara positif dan terus memperluas perdagangan antara negara kami dan AS,” katanya.

    Bank Pembangunan Asia sebelum ini memberi amaran bahawa tindakan balas oleh negara-negara membangun boleh mengurangkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) serantau sebanyak 0.1 mata peratusan masing-masing pada 2025 dan 2026.

    Filipina, sebagai sebahagian daripada Asia membangun, turut berisiko terjejas sekiranya ketegangan perdagangan terus memuncak.

    Pegawai perdagangan tertinggi negara itu dijadual menyertai mesyuarat maya Menteri Ekonomi ASEAN hari ini, bagi membincangkan langkah ke hadapan, susulan arahan tarif baharu Trump yang berkuat kuasa pada 9 April. – Bernama

    Setiausaha Perdagangan Filipina, Maria Cristina Roque, ketika berucap di Pameran Makanan Kebangsaan di Mandaluyong City, kelmarin. – Philippines Daily
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda