Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina tidak cari masalah tapi akan pertahan perairan

    MANILA, 29 SEPT – Presiden Filipina berkata pada hari ini bahawa negaranya tidak mahu konfrontasi tetapi akan bersungguh-sungguh mempertahankan perairannya selepas pengawal pantainya mengalihkan penghalang terapung yang diletakkan oleh China di beting yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

    Ia adalah kali pertama Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. bersuara secara terbuka menentang pemasangan penghadang sepanjang 300 meter (980 kaki) di pintu masuk Scarborough Shoal oleh China yang telah dibongkar atas arahannya.

    “Kami tidak mencari masalah tetapi apa yang kami akan lakukan ialah terus mempertahankan wilayah maritim Filipina dan hak nelayan kami, yang telah menangkap ikan di kawasan tersebut selama beratus-ratus tahun,” kata Marcos sebagai respons kepada soalan pada taklimat berita di selatan wilayah Surigao del Norte.

    Perbalahan terbaru antara China dan Filipina di Laut China Selatan, salah satu laluan perdagangan paling sibuk di dunia, berlaku selepas Marcos memutuskan awal tahun ini untuk membenarkan perluasan kehadiran tentera AS di Filipina di bawah pakatan pertahanan 2014. Prospek lebih banyak pasukan Amerika di kem tentera tempatan di utara Filipina di seberang Taiwan dan selatan China mencemaskan dan menimbulkan kemarahan Beijing.

    Selepas pengawal pantai Filipina membongkar tali dan penghadang pukat di muara Scarborough Shoal, bot nelayan Filipina memasuki lagun cetek dan menangkap kira-kira 164 tan ikan dalam masa satu hari sahaja, kata Marcos.

    “Itulah kerugian nelayan kita, jadi tidak sepatutnya ada halangan di sana dan jelas kawasan itu berada dalam Filipina,” katanya. “Nelayan kami telah menangkap ikan di kawasan tersebut selama beratus-ratus tahun jadi saya tidak faham mengapa ia telah berubah.”

    Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin berkata pada taklimat berita di Beijing pada hari Rabu bahawa beting itu ‘adalah wilayah asal China’.

    “Apa yang Filipina (telah) lakukan hanyalah sandiwara yang menghiburkan dirinya sendiri. China akan terus menjaga kedaulatan wilayah dan hak maritim serta kepentingan Pulau Huangyan,” katanya, menggunakan nama Cina untuk Scarborough. – AP

    Marcos berkata pada hari ini bahawa negaranya tidak mahu konfrontasi tetapi akan mempertahankan perairannya dengan tegas selepas pengawal pantai mengalihkan penghadang terapung yang dipasang oleh China di beting yang dipertikaikan di Laut China Selatan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda