MANILA, 27 OGOS – Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos telah mengarahkan kerajaan untuk mempergiatkan usaha menentang pemerdagangan orang, kata seorang pegawai Jabatan Kehakiman (DOJ), kelmarin.
Pada forum media, Penolong Setiausaha Kehakiman, Mico Clavano berkata bahawa Marcos telah memberikan ‘arahan khusus’ untuk mengukuhkan langkah membanteras pemerdagangan orang.
Negara itu terus bergelut dengan rakyat Filipina yang menjadi mangsa sindiket penyeludupan orang keluar dari negara itu dengan bertopengkan pekerjaan yang menguntungkan. Biro Imigresen telah menghalang hampir 14,000 warga Filipina daripada meninggalkan negara itu di lapangan terbang dari Januari hingga Mei tahun ini, menurut data rasmi.
Clavano berkata Thailand, Myanmar, Kemboja, dan Laos adalah tempat tumpuan mangsa-mangsa pemerdagangan haram.
“Penduduk kita sangat berhijrah,” kata Clavano, sambil menambah bahawa kira-kira 10 peratus penduduk berusaha mencari peluang pekerjaan di luar negara, yang merumitkan peraturan mengenai pemerdagangan manusia.
Penyelesaiannya adalah untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan di Filipina dan mengehadkan peluang untuk pemerdagangan orang, tambahnya. – Xinhua


