Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina tutup sekolah, batal penerbangan akibat taufan baharu

    MANILA, 25 SEPT – Filipina menutup sekolah dan membatalkan penerbangan hari ini selepas ribut baharu dijangka melanda hanya beberapa hari selepas taufan kuat meragut sembilan nyawa di kepulauan itu.

    Ribut Tropika Kuat Bualoi diramalkan bertukar menjadi taufan pada Jumaat dan kemudian menghentam bahagian selatan pulau terbesar Filipina, Luzon.

    “Banjir besar dan tanah runtuh di kawasan pergunungan berkemungkinan berlaku,” kata Benison Estareja daripada perkhidmatan cuaca negara itu dalam satu taklimat.

    Filipina dilanda purata 20 ribut dan taufan setiap tahun, menyebabkan berjuta-juta orang yang tinggal di kawasan terdedah bencana hidup dalam kemiskinan berterusan.

    Saintis memberi amaran bahawa ribut semakin kuat apabila dunia semakin panas akibat perubahan iklim yang didorong oleh manusia.

    Pihak berkuasa memberi amaran mengenai ‘risiko tinggi gelombang ribut yang mengancam nyawa’ sehingga tiga meter dengan ketibaan ribut ini.

    Pengawal Pantai Filipina berkata kira-kira 1,500 orang terkandas di pelabuhan di wilayah Bicol, kawasan yang diramalkan bakal dilanda taufan itu.

    Ribuan orang juga masih hilang tempat tinggal di negara yang dibasahi hujan itu selepas Taufan Super Ragasa melintasi bahagian hujung utara negara itu dan meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa.

    Biro cuaca berkata jalur luar Bualoi mungkin turut membawa hujan ke kawasan utara Filipina. – AFP

    Sebuah bot nelayan dilihat terdampar di pantai Pulau Calayan, wilayah Cagayan pada 23 September, sehari selepas Taufan Super Ragasa melanda pulau tersebut. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda