Saturday, February 8, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina umum 4 lagi pangkalan boleh digunakan tentera AS

    MANILA, 3 APRIL – Filipina hari ini mengumumkan lokasi empat pangkalan tentera tambahan yang akan digunakan oleh tentera Amerika Syarikat (AS), dengan satu tapak berhampiran Laut China Selatan yang menjadi pertikaian dan satu lagi tidak jauh dari Taiwan.

    Sekutu perjanjian lama itu bersetuju pada Februari lalu untuk mengembangkan kerjasama di ‘kawasan-kawasan strategik’ negara itu.

    Perjanjian Kerjasama Pertahanan Dipertingkat 2014, yang dikenali sebagai EDCA, memberikan akses kepada pasukan AS kepada lima pangkalan di Filipina.

    Ia diperluaskan kepada sembilan, tetapi lokasi empat pangkalan tambahan itu tidak didedahkan sehingga hari ini sementara kerajaan berunding dengan pegawai-pegawai tempatan.

    Empat tapak itu telah dinilai oleh tentera Filipina dan dianggap ‘sesuai dan saling menguntungkan,’ kata Pejabat Komunikasi Presiden dalam satu kenyataan.

    Ia menambah bahawa pangkalan-pangkalan itu juga akan digunakan untuk operasi kemanusiaan dan bantuan semasa bencana.

    Seorang pegawai AS mengesahkan bahawa lokasi-lokasi yang diumumkan oleh istana berkenaan adalah tapak-tapak EDCA baharu.

    Tiga daripada tapak itu berada di utara Filipina, termasuk pangkalan tentera laut dan lapangan terbang di wilayah Cagayan dan kem tentera di wilayah jiran Isabela, menurut kenyataan itu.

    Pangkalan tentera laut di Santa Ana wilayah Cagayan terletak kira-kira 400 kilometer dari Taiwan.

    Satu lagi tapak akan berada di Pulau Balabac, di hujung selatan Pulau Palawan, berhampiran Laut China Selatan. – AFP

    Komander Rejimen Artileri Tentera Filipina, Anthony Coronel (kiri) membalas tabik hormat daripada seorang askar AS semasa latihan ketenteraan bersama yang dinamakan Salaknib di Laur, wilayah Nueva Ecija, utara Filipina pada 31 Mac lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda