BOLOGNA, 28 JUN – Luca Waldschmidt dan Nadiem Amiri menjaringkan gol lewat untuk membantu juara bertahan Jerman layak ke final Kejohanan B-21 Eropah di Itali awal pagi tadi untuk bertemu Sepanyol bagi ulangan final dua tahun lalu.
Jerman mengatasi Romania 4-2 menerusi dua gol lewat di Bologna manakala Sepanyol turut bangkit sebelum menewaskan Perancis 4-1 di Reggio Emilia untuk layak ke final kali keempat dalam tempoh lima tahun.
Jaringan penyerang Freiburg, Waldschmidt menyaksikannya menyamai rekod kejohanan dengan tujuh gol dan bermakna dia menjaringkan gol dalam semua empat aksi juara bertahan itu.
“Apabila anda bangkit daripada ketinggalan pada separuh akhir menentang pasukan yang kuat ia memberikan anda keyakinan,” ujar penyerang Freiburg itu yang boleh melakar rekod baharu jika dia menyumbat gol pada final di Udine, Ahad ini. – AFP