LOS ANGELES, 30 JULAI – Pemain gantian Gyasi Zardes menjaringkan gol pada minit ke-86 dan Matt Turner menyelamatkan tiga percubaan Qatar ketika Amerika Syarikat (AS) mengalahkan juara Asia, Qatar 1-0 semalam untuk mara ke final Piala Emas CONCACAF ke-12 mereka.
Zardes menerima hantaran daripada Nicholas Gioacchini untuk menjaringkan satu-satunya gol dalam perlawanan tersebut.
“Niko melakukan larian yang bagus dan berjaya melakukan hantaran dengan baik,” kata Zardes. “Saya hanya perlu menjaringkan gol itu.”
AS akan beraksi di final Ahad ini di Las Vegas menentang juara bertahan Mexico yang berjaya menewaskan Kanada 2-1 di separuh akhir baru-baru ini.
Mexico terakhir kali mengalahkan skuad AS 1-0 pada final 2019. Kedua-dua pasukan telah bertemu dalam enam final Piala Emas, dengan pasukan Mexico menang semua kecuali pertandingan pada 2007, apabila Amerika meraih kemenangan 2-1.
Zardes diturunkan pada minit ke-64 menggantikan Daryl Dike dan tidak memerlukan masa yang lama untuknya memberikan impak dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Q2, Austin, Texas.
Dia kemudian menjaringkan gol empat minit sebelum perlawanan tamat, jaringan keduanya dalam kejohanan itu ketika AS memperluas kemenangan mereka kepada lapan perlawanan.
Zardes mengatakan pasukan dari Qatar iaitu negara tuan rumah untuk Piala Dunia 2022, kelihatan letih di penghujung perlawanan.
“Itu adalah perlawanan yang hebat dan mereka mempunyai pasukan yang kuat. Tetapi ketika pemain gantian kami masuk, kami dapat membuat perbezaan kerana pada permulaan perlawanan kami telah pun meletihkan mereka,” katanya.
Turner juga beberapa kali berjaya menyelamatkan percubaan dari Qatar.
“Separuh masa pertama bukanlah yang terbaik,” kata Turner.
“Kami bangkit pada separuh masa kedua dan dengan baki 10 minit lagi kami berjaya menyelesaikannya.” – AFP