Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Findlay anjur Pameran Pengajian Antarabangsa ke-20

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Sempena ulang tahun ke-10 agensi perkhidmatan pendidikan Findlay akan menganjurkan Pameran Pengajian Antarabangsa ke-20 pada 18 November di Hotel Mulia, Anggerek Desa.

    Pameran yang menampilkan wakil dari 17 buah universiti dan kolej di United Kingdom (UK), Australia, Kanada, Malaysia dan Singapura itu dibuka untuk kunjungan orang ramai bermula dari pukul 2 petang hingga 7 malam.

    Dengan adanya pameran itu, ianya akan memberikan pelajar peluang untuk meneroka pilihan pengajian antarabangsa.

    Findlay telah lama komited untuk membantu pelajar mencapai impian akademik dan memperluas perspektif mereka.

    Pameran tersebut menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan agensi berkenaan dan menonjolkan minat yang semakin meningkat dalam pendidikan luar negara dalam kalangan pelajar di Brunei.

    Gambar Envato

    Selain berkunjung secara terus, pelajar juga boleh mendaftar lebih awal di bit.ly/SFNOV24, bagi memastikan akses yang cepat ke acara tersebut.

    Pasukan Findlay akan berada di lokasi untuk membantu pelajar berhubung dengan wakil universiti, menjawab soalan mengenai kursus, biasiswa, kehidupan di kampus, dan banyak lagi.

    Acara tersebut akan menampilkan pelbagai institusi, termasuk beberapa nama yang paling berprestij dalam pendidikan tinggi global, seperti universiti dari kumpulan terkenal Russell Group, termasuk Edinburgh, Exeter, Leeds, dan Newcastle.

    Di samping itu, universiti lain yang turut hadir ialah Aberystwyth, Reading, Surrey, UWE Bristol, dan Wolverhampton.

    Manakala Australia akan diwakili oleh Universiti Deakin; Kanada dari Universiti Alberta; Singapura pula akan diwakili oleh Universiti James Cook Singapura; serta Universiti Curtin dan Universiti Taylors dari Malaysia.

    Selain itu, wakil daripada penyedia laluan terkenal seperti INTO University Partnerships, Navitas dan Kaplan juga dijangka akan hadir untuk membincangkan laluan asas dan tahun pertama ke universiti di UK, Australia, Kanada, Jerman, Belanda, dan Amerika Syarikat.

    Laluan alternatif ke universiti tersebut semakin menjadi pilihan yang popular dalam kalangan pelajar untuk mencari pilihan kemasukan yang disesuaikan dan fleksibel.

    Di samping itu, pameran tersebut juga akan mempamerkan Penilaian Profil Kerjaya Psikometrik Morrisby Findlay yang membantu pelajar untuk lebih memahami kekuatan dan minat mereka, yang mana perkhidmatan itu sangat berguna bagi mereka yang ingin mengesahkan pilihan pengajian dan kerjaya, atau bagi mereka yang tidak pasti mengenai kursus pengajian terbaik untuk masa depan.

    Bengkel Latihan Pekerjaan Findlay juga akan dipamerkan, dengan pelbagai sumber dan nasihat mengenai penulisan CV, kemahiran temuduga, pembentangan dan bercakap di hadapan orang awam.

    Bengkel tersebut dirancang untuk membantu pelajar mempamerkan kemahiran kebolehkerjaan dan bersedia untuk langkah seterusnya dalam kerjaya selepas universiti.

    Turut hadir pada pameran berkenaan ialah pegawai dari Majlis Akreditasi Kebangsaan Brunei Darussalam dan Jabatan Pengurusan Biasiswa di Kementerian Pendidikan yang akan menjawab pertanyaan mengenai biasiswa, akreditasi, dan pilihan pengajian untuk memberi pemahaman menyeluruh tentang peluang pembiayaan dan garis panduan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda