HELSINKI, 25 JULAI – Finland telah memecah rekod cuaca panas apabila negara itu mengalami tempoh suhu melebihi 30 darjah Celsius paling lama sejak lebih 50 tahun lalu, menurut Institut Meteorologi Finland hari ini.
Pada sebelah pagi, suhu di Parikkala, sebuah kawasan di timur Finland, mencecah 30.3 darjah Celsius, menjadikan hari itu hari ke-14 berturut-turut negara itu merekodkan suhu melebihi 30 darjah Celsius. Ini sekali gus memecahkan rekod terdahulu iaitu 13 hari berturut-turut pada Jun dan Julai 1972.
“Ia merupakan tempoh paling lama dengan suhu melebihi 30 darjah Celsius sejak catatan data bermula pada 1961,” menurut kenyataan institut itu di platform X.
Negara Nordic itu kini sedang mengalami cuaca panas luar biasa yang disifatkan pihak berkuasa sebagai ‘amat panjang’ di beberapa kawasan.
Ahli meteorologi, Ville Siiskonen berkata secara umum, pemanasan global menjadikan kejadian cuaca panas seperti ini lebih kerap berlaku. Namun, beliau menegaskan bahawa rekod kali ini tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan perubahan iklim tanpa kajian lanjut.
“Tempoh cuaca panas akan menjadi lebih panjang dan kekerapan juga boleh meningkat,” katanya kepada AFP.
Rekod baharu itu muncul setahun selepas wilayah Lapland di utara Finland, Norway dan Sweden mengalami musim panas paling panas dalam tempoh 2,000 tahun pada 2024, dengan perubahan iklim dilaporkan meningkatkan kemungkinan kejadian seperti itu sebanyak seratus kali ganda. – AFP
