KUHMO, 25 JUN – Finland kelmarin melancarkan segmen baharu pagar sepanjang 200 kilometer yang dibina di sepanjang sempadan timurnya dengan Rusia, bagi menghalang apa yang digelar Helsinki sebagai ‘alat pendatang tanpa izin’.
Negara Nordik itu telah menutup keseluruhan sempadannya sepanjang 1,340 kilometer dengan Rusia pada Disember 2023 selepas kemasukan kira-kira 1,000 pendatang tanpa visa.
Finland mendakwa peningkatan itu sengaja dirancang oleh Rusia untuk menggugat kestabilannya – satu tuduhan yang dinafikan Kremlin.
Pada April 2024, kerajaan Finland memutuskan sempadan dengan Rusia akan kekal ditutup ‘sehingga diberitahu kelak,’ dan keputusan itu diperbaharui setahun kemudian.
Segmen pertama pagar sepanjang 35 kilometer telah siap pada Mei di daerah kawalan sempadan Tenggara Finland.

Pegawai Finland memperkenalkan segmen pertama daripada lapan bahagian baharu kelmarin, semasa lawatan ke tapak di Kuhmo, kira-kira 600 kilometer ke utara Helsinki di timur Finland.
Segmen itu adalah sebahagian daripada fasa kedua pagar sepanjang 18 kilometer berhampiran pusat pemeriksaan sempadan Vartius, menurut Timbalan Komander Daerah Kawalan Sempadan Kainuu, Tomi Tirkkonen.
Pagar logam hijau setinggi 4.5 meter itu dipasang dengan dawai berduri di bahagian atas.
Kawasan lintasan itu kelihatan lengang, hanya kedengaran kicauan burung dan enjin jentera penggali dari kawasan Rusia, dikelilingi hutan yang menghijau.
“Situasi sempadan telah berubah. Ia tidak lagi stabil, jadi kami perlukan alat baharu dan ini salah satu daripadanya,” kata Tirkkonen.
Dengan adanya pagar itu, keadaan kini dilaporkan tenang dan ‘terkawal sepenuhnya’.
Di daerah sempadan Kainuu yang berkongsi 406 kilometer sempadan dengan Rusia, segmen pagar kedua itu bakal merangkumi tujuh kawasan ‘berisiko tinggi’ apabila siap sepenuhnya.
Hutan di sekeliling pagar telah ditebang dan sensor serta kamera turut dipasang bagi meningkatkan pemantauan.
“Dari sudut pandangan pihak pengawal sempadan, pagar berkenaan sangat perlu dan amat berguna,” kata Tirkkonen.
Keseluruhan projek tersebut dijangka siap pada tahun 2026 dengan anggaran kos berjumlah 380 juta euro. – AFP