Friday, March 21, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Finland masih lagi negara paling bahagia

    NEW YORK, 20 MAC – Finland sekali lagi dinobatkan sebagai negara dengan penduduk paling bahagia di dunia untuk kali kelapan berturut-turut, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) berdasarkan Laporan Kebahagiaan Dunia yang diterbitkan hari ini sempena Hari Kebahagiaan Antarabangsa.

    Laporan itu, hasil kerjasama antara firma tinjauan Gallup, Oxford Wellbeing Research Centre, dan UN Sustainable Development Solutions Network yang menganalisis tempoh antara 2022 hingga 2024.

    Seperti tahun sebelumnya, negara-negara Nordik terus mendominasi kedudukan teratas dengan Denmark, Iceland, dan Sweden masing-masing berada di tempat kedua, ketiga dan keempat, manakala Norway di tangga ketujuh.

    Belanda kembali berada dalam kelompok lima teratas, sementara Costa Rica keenam dan Mexico kesepuluh buat kali pertama tersenarai dalam 10 negara paling bahagia.

    Jerman mencatat peningkatan daripada tempat ke-24 ke-22, manakala Amerika Syarikat jatuh satu tangga ke tempat ke-24 menjadi catatan kedudukan terburuknya setakat ini.

    Daripada 147 negara yang disenaraikan, Afghanistan berada di kedudukan tercorot.

    Rakyat Finland yang diminta menilai kehidupan mereka memberikan skor purata 7.736 daripada 10, manakala purata bagi rakyat Afghanistan hanya 1.364.

    Para penyelidik mengenal pasti beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kesejahteraan penduduk, antaranya sokongan sosial, pendapatan, kebebasan kesihatan, serta persepsi terhadap rasuah. – Bernama/dpa

    Suatu pemandangan di Helsinki, Finland. Negara berkenaan masih lagi negara paling bahagia. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda