HELSINKI, 2 JAN – Finland dan Sweden mencatatkan suhu paling dingin pada musim sejuk hari ini, dengan bacaan termometer menjunam hingga -40 darjah Celsius yang berlaku di wilayah Nordik.
Di Nikkaluokta, sebuah perkampungan kecil yang didiami oleh Orang Asli Sami di utara Sweden, bacaan termometer menunjukkan suhu -41.6 darjah Celsius dicatat awal hari ini, menurut laporan penyiar awam Sweden SVT.
“Ia adalah suhu paling sejuk yang kami alami setakat musim ini dan ia akan terus menjadi cuaca yang agak dingin di utara,” kata ahli meteorologi SVT, Nils Holmqvist.
Pengendali kereta api di Sweden berkata musim sejuk kali ini telah menyebabkan masalah besar kepada trafik kereta api di bahagian utara. Institut Meteorologi dan Hidrologi Sweden telah melaporkan suhu -30 darjah di beberapa lokasi di utara Sweden.
Ia juga mengeluarkan amaran salji dan berangin di bahagian tengah dan selatan Sweden serta mengatakan turunan salji boleh menyebabkan masalah. Amaran kedua tertinggi dikeluarkan dari tengah malam hingga esok.
Di negara jiran Finland, rekod sejuk dicatatkan di bandar barat laut Ylivieska di mana suhu jatuh ke paras -37.8 darjah Celsius awal hari ini.
Suhu di bawah -30 darjah Celsius direkodkan di beberapa buah lokasi di rantau Lapland Artik. Ibu negara Finland, Helsinki juga berada di bawah musim sejuk dengan suhu dijangka dicatatkan antara -15 dan -20 darjah Celsius sepanjang minggu ini.
Institut Meteorologi Finland telah mengeluarkan amaran cuaca sangat sejuk pada minggu ini, dan suhu ramalan mungkin melebihi -40 darjah Celsius di beberapa kawasan.
Di Denmark, jambatan utama ditutup untuk treler ringan kerana angin kencang yang boleh menjejaskan pemanduan, kata Pengarah Jalan Denmark. – AP
