Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    FinTech tawar proses kewangan efisien

    Oleh Siti Nur Wasimah S. & Ak Zaki Kasharan

    Gambar oleh Siti Nur Wasimah S. & Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – FinTech yang diambil dari perkataan financial dan technology merupakan startup terbaharu dalam era ini yang menawarkan proses kewangan atau perbankan lebih efisien dan mudah.

    Sejak 2010, hampir AS$100 bilion telah dilaburkan dalam penggunaan FinTech yang mana 2017 menjadi tahun yang tertinggi bagi pelaburan tersebut dan sehingga hari ini lebih 100 startup juga ingin menggunakan idea FinTech bagi memudahkan proses pembayaran dan kewangan.

    Pada masa yang sama, pengguna juga menggunakan FinTech dan seorang daripada tiga orang dari 20 buah negara ekonomi utama telah menggunakan perkhidmatan FinTech dalam masa enam bulan kebelakangan.

    Perkara ini dijelaskan oleh Ketua Pulangan dan Komoditi Mutlak, Agensi Pelaburan Brunei (BIA), Dayang Noorsurainah binti Tengah pada sesi perbincangan panel mengenai FinTech and Blockchain: Issues, Opportunities and Challenges semasa Meja Bulat Brunei Darussalam Tahunan ke-13 yang berlangsung di Dewan Indera Kayangan Ballroom, Empire Hotel & Country Club, Jerudong hari ini.

    Beliau menjelaskan lagi bahawa India dan China adalah dua buah negara yang kini semakin kerap menggunakan perkhidmatan berkenaan dalam membeli insurans, meminjam wang, melakukan transaksi dan melakukan perancangan kewangan.

    Sesi perbincangan panel yang bertajuk ‘Pasaran Modal, Kewangan dan Pelaburan: Trend Global dan Bagaimana Memacu Pertumbuhan ‘pada majlis tersebut.

    Dengan FinTech, orang ramai hanya memerlukan telefon bimbit untuk membuat pinjaman ataupun insurans, tambahnya.

    Sesi perbincangan berkenaan turut menampilkan Pengasas Bersama CoinPip, Alexander Angerer; Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif FinFabrik, Alex Mendana; Pengerusi, Blockchain and Cryptocurrency Industri Association (ACCESS) Singapura, Anson Zeall dan Pengurus Perbankan Elektronik Kumpulan dan Perkhidmatan Perdagangan Baiduri Bank Berhad, Andy Lai dengan Ketua FinTech, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Awang Zaki Mohidin selaku moderator.

    Sesi perbincangan panel itu turut membincangkan tajuk ‘Mempromosikan Pelaburan Mampan dan Syariah’ yang dipengerusikan oleh pensyarah yang juga merupakan Ketua Program Perakaunan dan Kewangan di Fakulti Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Brunei Darussalam, Dr Mohd Hairul Azrin bin Haji Besar.

    Ahli-ahli panel bagi sesi perbincangan ini ialah Pakar Pelaburan Mampan, BNP Paribas Asset Management, Asia Pasifik, Paul Milon; Pengarah dan Ketua Serantau Syariah dan Tadbir Urus, Group Islamic Banking, CIMB Group, Ashraf Gomma Ali; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas, Elzar Shariah Solution Sdn Bhd, Dr Zaharuddin Abdul Rahaman; dan Pengarah di Institutional Business Development, Asia Tenggara, Robeco, Nayan Patel.

    Lebih 140 orang dari seluruh Asia hadir pada Meja Bulat Brunei Darussalam Tahunan ke-13 yang dikelolakan oleh Asia Asset Management bagi membincangkan isu terkini dan trend yang memberi kesan kepada pasaran modal, kewangan, teknologi dan pelaburan global.

    Tema bagi tahun ini adalah ‘Pasaran Modal, Kewangan dan Pelaburan: Trend Global dan Bagaimana Teknologi Memacu Pertumbuhan’.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda