KUALA LUMPUR, 19 OKT – Dua atlet berbasikal trek Malaysia, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri telah dinobatkan sebagai Pelumba Terbaik Lelaki dan Wanita pada Majlis Apresiasi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) 2025 di Melaka, semalam.
Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill pada majlis yang dihadiri penggiat sukan berbasikal seluruh Malaysia termasuk pegawai, atlet dan tokoh-tokoh sukan.
Dalam kenyataan PKBM hari ini, Amarjit menyifatkan penganugerahan kepada dua pelumba itu sebagai satu lembaran baharu dalam sejarah penubuhan badan induk berkenaan.
Muhammad Shah dan Nurul Izzah masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 dan sijil.
Pada masa sama, dua pelumba para Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dan Nur Suraiya Mohd Zamri yang ketika ini menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 di Rio de Janeiro, Brazil, diumumkan sebagai Pelumba Para Terbaik.
Manakala, legenda berbasikal Malaysia, Datuk Ng Joo Ngan pula menerima anugerah khas, membawa pulang trofi serta baki wang hadiah kemenangan bernilai RM4,500 yang dijanjikan PKBM.
Sementara itu, kategori Persatuan Negeri Terbaik telah dimenangi oleh Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak (PBNS).
Mohd Yusof Abdul Nasir serta Noor Alfizar Othman pula muncul sebagai Pegawai Sukan Terbaik Malaysia 2025 dan pasukan benua terkenal, Terengganu Cycling Team (TSG) dinobatkan sebagai ‘Best Continental Team’.
Majlis Apresiasi PKBM 2025 turut menganugerahkan Anugerah Khas kepada Amarjit atas pencapaian menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi jawatan Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). – Bernama

