Thursday, June 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Firma AI ikrar untuk ‘bertanggungjawab’

    SEOUL, 22 MEI – Lebih puluhan firma kecerdasan buatan (AI) terkemuka di dunia berikrar pada sidang kemuncak global kelmarin untuk membangunkan dan menggunakan teknologi mereka dengan selamat, ketika kebimbangan meningkat terhadap kekurangan perlindungan untuk teknologi generatif AI seperti ChatGPT.

    Empat belas syarikat berikut termasuk Samsung Electronics, Naver dan Google dan IBM telah bersetuju pada hari terakhir sidang kemuncak Seoul untuk ‘meminimumkan risiko’ di samping usaha memajukan bidang berkenaan.

    “Kami komited untuk terus memajukan usaha penyelidikan untuk menggalakkan pembangunan model AI yang bertanggungjawab,” kata mereka dalam Ikrar Perniagaan AI Seoul.

    Syarikat-syarikat itu juga berjanji untuk ‘meminimumkan risiko, dan membolehkan penilaian yang teguh terhadap keupayaan dan keselamatan’.

    Sidang kemuncak dua hari yang dianjurakan bersama oleh Korea Selatan dan Britain itu telah mengumpulkan para pegawai atasan daripada syarikat AI global seperti OpenAI dan Google DeepMind untuk mencari jalan bagi memastikan penggunaan teknologi yang selamat.

    Komitmen mereka dibina berdasarkan persetujuan yang dicapai pada sidang kemuncak keselamatan AI global sulung di Bletchley Park di Britain tahun lepas.

    Di bawah ikrar baharu itu, syarikat-syarikat berkenaan bersetuju untuk membantu pengguna yang terdedah secara sosial melalui teknologi AI, walaupun ia tidak memberikan butiran tentang bagaimana ia dilakukan.

    Enam belas firma teknologi, termasuk OpenAI pembuat ChatGPT, Google DeepMind dan Anthropic, turut berjanji untuk membuat komitmen keselamatan baharu termasuk berkongsi cara mereka menilai risiko teknologi mereka.

    Ini termasuk risiko yang ‘dianggap tidak boleh diterima’ dan tindakan firma untuk memastikan tahap tersebut dipatuhi. – AFP

    Gambar ramai para pegawai kerajaan dan wakil dari industri utama dalam satu sesi Sidang Kemuncak AI Seoul di Seoul, Korea Selatan kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Selatan keluar nasihat gelombang haba

    SEOUL, 19 JUN - Agensi cuaca Korea Selatan pada hari ini mengeluarkan nasihat gelombang haba ketika suhu meningkat di seluruh negara. Nasihat gelombang haba itu...