Wednesday, March 26, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Firma baharu AI perlu fokus penyelesaian dunia nyata

    SINGAPURA, 23 MAC – Syarikat pemula kecerdasan buatan (AI) Singapura yang ingin menarik minat pelabur disarankan untuk membangunkan aplikasi inovatif yang menawarkan penyelesaian praktikal, terutama dalam sektor kewangan, penjagaan kesihatan dan analitik, menurut pakar industri.

    Daripada bersaing semata-mata berdasarkan kos, syarikat baharu dinasihatkan untuk memanfaatkan model AI sedia ada bagi mencipta penyelesaian khusus yang mempunyai nilai proprietari, kata beberapa pemain industri kepada The Straits Times.

    Rakan kongsi firma usaha sama hutang Innoven Capital Asia Tenggara, Ben Cheah menjelaskan bahawa walaupun kecekapan kos tetap menjadi faktor, pelabur lebih berminat terhadap cara-cara syarikat membangunkan aplikasi unik berdasarkan kerangka asas AI.

    “Pelabur cenderung menumpukan pada syarikat yang boleh membangunkan aplikasi bernilai tinggi, bukan sekadar yang mengoptimumkan kos pembangunan lebih rendah,” katanya.

    “Isunya bukan hanya pada kemampuan tetapi juga daya saing dan bagaimana syarikat mencipta nilai eksklusif.”

    Gambar Freepik

    Dengan model AI semakin mudah diakses dan kosnya semakin menurun, pembezaan melalui aplikasi khusus menjadi kunci bagi firma AI tempatan untuk menonjol dalam pasaran yang kompetitif.

    Pada Januari lalu, syarikat pemula AI China, DeepSeek, mencuri perhatian dengan chatbot yang dikatakan dibangunkan pada kos lebih rendah berbanding pesaing industri seperti OpenAI dengan ChatGPT. Model DeepSeek juga bersifat sumber terbuka, membolehkan sesiapa sahaja memuat turun, menyalin dan mengubah suai kodnya untuk membangunkan aplikasi mereka sendiri.

    Cheah menekankan bahawa AI kekal sebagai sektor pelaburan utama, tetapi dengan model kos rendah seperti DeepSeek semakin popular, pelabur kini mencari aplikasi AI yang mampu memberi impak transformatif.

    “Syarikat pemula yang paling berpotensi untuk menarik pelaburan adalah mereka yang membangunkan penyelesaian khas sektor, sama ada dalam kewangan, penjagaan kesihatan atau automasi perniagaan.”

    Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pemula AI generatif Addlly AI, Tina Chopra berkata tumpuan pelaburan AI kini beralih daripada model asas kepada agen AI sistem autonomi yang melaksanakan tugas khusus dengan campur tangan manusia yang minimum serta aplikasi perusahaan.

    “Syarikat mahukan AI yang boleh diintegrasikan dengan lancar, bukan sekadar model generik. Mereka tidak akan membayar untuk AI mentah, tetapi akan melabur dalam penyelesaian yang memberi peningkatan produktiviti atau hasil yang boleh diukur,” katanya. – ANN/The Straits Times

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda