Firma batal pinjaman China bagi projek Trump

JAKARTA, INDONESIA, 13 OGOS – Anak lelaki Presiden Amerika Syarikat (AS) dan rakan perniagaannya dari Indonesia berkata taman tema yang juga bercirikan kondo dan hotel Trump tidak lagi akan dibiayai oleh China.

Dalam satu langkah yang mencemaskan pengkritik Trump, MNC Land, sebuah syarikat Indonesia yang membangun taman tema milik jutawan Hary Tanoesoedibjo, berkata pada Mei bahawa ia telah mengupah subsidiari Metallurgical Corp milik kerajaan China, untuk membina taman di tapak kemajuan Bandar Lido, Jawa Barat, luar Jakarta.

“Taman tema itu tidak ada kaitan dengan Organisasi Trump, kami perlu jelaskannya,” kata Tanoesoedibjo semasa sidang berita di bandar itu yang juga dihadiri oleh Donald Trump Jr. yang memperkenalkan pelancaran Trump Residences di Jawa Barat dan Bali.

Tanoesoedibjo berkata syarikatnya dan bank China telah berbincang satu pinjaman bagi taman temanya.

“Ia telah dilakukan oleh pasukan kami, namun kami akhirnya membatalkannya,” katanya tanpa menghuraikan lebih lanjut.

Donald Trump Jr. (kanan) dan Hary Tanoesoedibjo semasa sidang akhbar di Jakarta, Indonesia pada 13 Ogos. – AP

Laporan berita mengatakan pinjaman sekitar AS$500 juta yang disokong oleh kerajaan China bagi projek itu telah ditandatangani, namun telah dinafikan oleh syarikat itu pada Mei.

“Ia tidak berkaitan dengan Trump. Tanoesoedibjo jelas mengusahakan pembangunan besar dan kedua-duanya tidak berkaitan antara satu sama lain,” kata Trump Jr.

Pemilik hartanah menandatangani satu perjanjian empat tahun sebelumnya bagi pembangunan itu yang termasuk hotel jenama Trump bersama padang golf, kelab, kondominium mewah, rumah agam dan vila – yang digelar dalam material promosinya sebagai ‘Trump Residences’.

Peringkat pertama ‘Bandar Lido’ seluas kira-kira 3,000 hektar itu juga akan memuatkan taman tema, hotel-hotel, kedai dan rumah serta tempat hiburan dan makanan yang MNC sedang bangun sendiri.

Trump Residences di Lido sahaja akan berkeluasan 350 hektar yang boleh diakses langsung dari lebuh raya terbuka baharu Bocimi dari bandar Indonesia.

Kedua-dua kumpulan juga akan bekerjasama di kawasan seluas 102 hektar yang menempatkan Trump International Resort, Kelab Golf dan Residences yang terletak berdekatan Kuil Hindu, Tanah Lot, Bali. – AP