BOGOTA, 18 OKT – Firma China APCA Transmimetro telah memenangi kontrak berjumlah AS$4 bilion untuk membina sistem kereta api bawah tanah di Bogota, umum Presiden Colombia Ivan Duque semalam.
APCA Transmimetro, yang termasuk China Harbour Engineering dan Xi’an Metro serta subkontraktor Sepanyol dan Brazil, akan membina dan mengendali sistem tersebut di bawah konsesi 20 tahun.
“Hari ini adalah hari perayaan untuk semua penduduk Bogota, dan untuk seluruh Colombia,” kata Duque ketika membuat pengumuman itu di Bogota.
“Di sinilah bermulanya sistem kereta api bawah tanah sebenar yang telah dinanti-nantikan oleh bandar berdekad-dekad lamanya,” kata beliau.
Datuk bandar Bogota Enrique Penalosa berkata kerja-kerja ke atas projek akan bermula pada separuh tahun pertama tahun depan dan sistem itu akan beroperasi pada 2025.
Landasan dinaikkan sepanjang 24 kilometer dan menggunakan elektrik itu akan mempunyai 16 stesen di bandar dengan tujuh juta penduduk, memenuhi keperluan lebih satu juta penumpang sehari.
Harga tiket masih belum diputuskan. – AFP
