Firma enjin pesawat udara kurangkan 1,000 pekerja

BERLIN, 6 JULAI – Pengeluar enjin pesawat udara Jerman MTU Aero Engines berkata hari ini ia merancang mengurangkan sekurang-kurangnya 1,000 pekerja tatkala impak koronavirus terus menjejas industri penerbangan.

“Pada akhir 2021, syarikat berhasrat mengurangkan kapasiti di Jerman dan lokasi antarabangsa sebanyak kira-kira 10 hingga 15 peratus,” kata syarikat dalam satu kenyataan.

Beribu pejabat di Munich, firma MTU Aero Engines menggaji lebih daripada 10,000 pekerja di seluruh dunia dan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan serta enjin untuk kapal terbang tentera dan komersial.

“Akibat pandemik, industri penerbangan masih menerima tekanan pada masa akan datang,” Ketua Pegawai Operasi, Reiner Winkler, dipetik sebagai berkata.

“Ia akan mengambil masa beberapa tahun sebelum lalu lintas udara – yang merupakan asas aktiviti kami dalam beberapa siri pengeluaran dan perniagaan penyelenggaraan – kembali kepada tahap sebelum krisis,” tambahnya.

Bagaimanapun, syarikat berharap dapat mengelak lebihan pekerja, melakukan penjimatan menerusi persaraan sebahagian, persaraan awal serta pengaturan lain.

Sekatan perjalanan yang diperkenalkan untuk mengawal penularan koronavirus sejak Mac telah menjejas industri penerbangan di seluruh dunia.

Pembuat pesawat udara Eropah Airbus berkata pada minggu lalu ia merancang mengurangkan 15,000 pekerja di seluruh dunia, 11 peratus daripada jumlah tenaga kerjanya, dalam respons terhadap ‘krisis paling teruk’ yang pernah dilihat oleh industri. – AFP