Tuesday, September 17, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Firma Jepun penuhi peningkatan permintaan pembakaran bangkai haiwan peliharaan

    TSUKUBA, 9 SEPT – Sebuah syarikat di Jepun telah membangunkan teknologi yang mampu mengendalikan pembakaran bangkai haiwan terkecil, seperti ikan hiasan untuk menjadikan abu haiwan peliharaan itu sebagai kenang-kenangan. 

    Progress Co, syarikat yang berpangkalan di Osaka telah mencipta kaedah untuk melaraskan keamatan nyalaan api dan kekuatan jet udara untuk meninggalkan abu dalam keadaan optimum, dengan beberapa tulang yang tinggal, lapor agensi berita Kyodo News.

    Di Jepun, upacara pembakaran mayat untuk orang ramai biasanya melibatkan pengumpulan serpihan tulang yang tinggal untuk disimpan bersama abu, dan terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk amalan serupa dalam pembakaran bangkai haiwan peliharaan.

    Pemilik haiwan peliharaan mesti meminta kerajaan tempatan atau syarikat khusus untuk mengendalikan pembakaran bangkai haiwan mereka, kerana undang-undang melarang individu membakar bangkai haiwan peliharaan mereka sendiri.

    Progress Co, yang turut menawarkan perkhidmatan mengasingkan barang-barang orang selepas mereka mati, memulakan perniagaan pembakaran bangkai haiwan kesayangan pada 2020 dan kini menerima kira-kira 2,000 permintaan setiap bulan, menyediakan perkhidmatan itu kepada  pelbagai haiwan peliharaan termasuk spesies jarang ditemukan seperti belut taman berbintik dan axolotl.

    “Haiwan peliharaan saya sangat kecil tetapi mereka mengendalikannya dengan penuh berhati-hati dan saya sangat bersyukur,” kata Naomi Uchikawa, seorang wanita berusia 45 tahun yang menggunakan perkhidmatan itu untuk kameleonnya. – Bernama

    Foto daripada Kyodo News menunjukkan kameleon yang dimiliki oleh Naomi Uchikawa, yang dibakar dalam perkhidmatan yang disediakan oleh Progress Co. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda