Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Firma pertahanan intai peluang hebat ‘made in India’

    NEW DELHI, 20 Ogos – India telah menyediakan senarai pembelian besar-besaran membabitkan perbelanjaan berpuluh billion dolar bagi jet-jet pejuang asing, kenderaan berperisai, kapal selam dan helikopter, bagaimanapun mereka hanya bersetuju membelinya jika ia diperbuat di India.

    Negara pengimport pertahanan terbesar di dunia itu telah mengumumkan satu polisi baru mempelawa syarikat-syarikat pengeluar pertahanan asing untuk membuka kedai sebagai rakan minoriti di India. Ini telah memulakan proses pembidaan bagi kapal selam pada Julai.

    Urus niaga tersebut akan merangsang pewujudan peluang pekerjaan serta membawa masuk teknologi-teknologi utama pertahanan ke India. Syarikat-syarikat asing berkata peluang keemasan seperti ini tidak boleh dilepaskan.

    Kumpulan Airbus dari Eropah, yang berusaha untuk menjual helikopter Panther keluaran mereka berkata bahawa, sekiranya mereka memenangi kontrak bernilai berbilion dolar dan dijangka memakan masa sekurang-kurangnya satu dekad, mereka akan menjadikan India sebagai hab global mereka bagi helikopter-helikopter pelbagai guna.

    Pada masa ini, syarikat tersebut membina helikopter-helikopter berkenaan di Marignane, Perancis.

    Lockheed Martin pula berkata, jika jet pejuang mereka F-16 terpilih – di mana mereka mungkin terpaksa bersaing dengan SAAB bagi pembelian bernilai hampir $15 bilion itu – mereka akan “menyokong perkembangan kepakaran pengilangan India.”

    Syarikat ThyssenKrupp Marine Systems dari Jerman dan Kumpulan Kelautan dari Perancis begitu teruja untuk bersaing bagi satu kontrak sehingga $10 bilion untuk membina kapal selam di negara Asia Selatan itu.

    Memikat syarikat-syarikat pertahanan asing untuk membina kilang pembuatan mereka di India merupakan satu usaha utama dan sangat-sangat diperlukan untuk merangsang ekonomi.

    Perdana Menteri India, Narendra Modi yang berdepan dengan pilihan raya kebangsaan dalam tempoh kurang dua tahun lagi, kini menghadapi tekanan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi ratusan ribu orang yang memasuki pasaran pekerjaan setiap bulan.

    Pertumbuhan pada tiga bulan pertama tahun ini memperlahan kepada 6.1 peratus. Pakar-pakar menjangkakan akan berlaku gangguan seterusnya tatkala perniagaan sedang menyesuaikan diri kepada cukai barangan dan perkhidmatan yang baru diperkenalkan pada Julai lalu.

    India cuba untuk mengikuti negara-negara lain yang mewujudkan sektor pertahanan dengan menyokong syarikat-syarikat besar dengan pesanan pembelian jangka panjang serta membenarkan syarikat-syarikat kecil untuk berkembang di sekitarnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda