Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Firma tenaga Hungary di Pakistan diserang

    PESHAWAR, PAKISTAN, 23 MEI – Enam anggota keselamatan Pakistan terbunuh dalam kepungan semalaman oleh berpuluh-puluh militan di tapak penerokaan minyak dan gas milik Hungary (MOL), kata polis hari ini.

    Pakistan telah menyaksikan peningkatan serangan militan sejak Taliban kembali berkuasa di negara jiran Afghanistan pada 2021, dengan serangan kebanyakannya menyasarkan pasukan keselamatan dan kepentingan asing yang dituduh melakukan eksploitasi.

    Kira-kira 50 pejuang menyerang tapak milik Kumpulan MOL yang beribu pejabat di Budapest sekitar tengah malam di daerah Hangu di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, kata ketua polis daerah, Asif Bahadur kepada AFP.

    “Mereka bersenjatakan senjata ringan dan berat serta melepaskan peluru mortar, membunuh enam anggota keselamatan di pintu masuk utama” ke tapak terpencil berhampiran sempadan Afghanistan, kata Bahadur.

    Beliau berkata yang maut termasuk empat anggota pasukan bantuan polis separa tentera Frontier Constabulary dan dua pengawal keselamatan persendirian Pakistan untuk firma itu.

    Kumpulan MOL telah mengendalikan anak syarikat Pakistan sejak 1999 dan menggaji 400 orang di negara itu, menurut laman web mereka. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...