Friday, September 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Firma tenusu ‘100% tulen NZ’ tumpas, guna mentega India

    WELLINGTON, 26 OGOS – Sebuah syarikat tenusu Kiwi telah ditumpaskan kerana secara palsu mendakwa produknya adalah ‘100 peratus tulen New Zealand’, sebaliknya menggunakan mentega yang diimport dari India.

    Firma tenusu, Milkio Foods Limited didenda AS$261,452 hari ini selepas Suruhanjaya Perdagangan New Zealand (NZ) membawanya ke mahkamah kerana membuat dakwaan palsu tentang asal usul produk menteganya.

    Firma yang berpangkalan di Hamilton itu mengelirukan pelanggan tentang dari mana produk minyak sapinya berasal, dengan dakwaan seperti ‘100% Pure New Zealand’ walaupun mengimport bahan teras dari India menurut Suruhanjaya Perdagangan dalam satu kenyataan.

    Industri yang dipacu pertanian NZ sememangnya berbangga dengan eksport tenusu berkualiti tinggi dengan pelanggan luar negara yang gemar susu dan mentega dari padang rumputnya yang kaya.

    “Milkio mengambil kesempatan daripada reputasi ini untuk mempromosikan produk mereka sendiri” kata jurucakap Suruhanjaya Perdagangan, Vanessa Horne.

    Syarikat itu juga membentangkan maklumat palsu dan tidak lengkap untuk mendapatkan kelulusan menggunakan logo FernMark iaitu simbol yang dipercayai untuk mengenal pasti produk buatan NZ.

    Milkio mengaku bersalah atas 15 pelanggaran Akta Perdagangan Adil NZ membuat representasi palsu dan mengaku menggunakan logo dan nombor lesen FernMark tanpa kebenaran yang sewajarnya.

    “Sabitan ini sepatutnya menjadi amaran kepada orang lain yang mungkin ingin menuntut jenama NZ secara palsu,” tambah Horne. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda