SAN JOSE, 5 April – Sebuah firma aluminium milik kerajaan Venezuela telah mengumumkan bahawa ia mahu memberikan ‘cuti’ kepada lebih 300 orang pekerjanya di sebuah loji Costa Rica disebabkan kekurangan bahan mentah untuk beroperasi, menurut Kementerian Buruh Costa Rica.
Situasi itu merujuk pada krisis ekonomi Venezuela apabila ia bergerak tidak menentu dan kerajaannya bergelut untuk menangani kewangannya yang semakin merosot.
Jeneral tentera Venezuela yang bertanggungjawab mengendalikan kilang di Costa Rica, Noel Martinez, memberitahu sekumpulan pekerja bahawa Alunasa mempunyai beberapa masalah untuk menghantar aluminium yang diperlukan dari Venezuela bagi loji itu beroperasi.
Dia berkata bahawa dia sudah meminta Caracas untuk memberikan kebenaran bagi mendapatkan sumber logam dari pasaran lain.
Menurut Kementerian Buruh Costa Rica, syarikat itu telah mengeluarkan notis pada 22 Mac bahawa ia mahu menggantungkan kesemua kecuali 40 pekerja di loji itu kerana kekurangan bahan mentah.
Penggantungan itu mungkin berjalan selama tiga bulan, menurut kementerian itu, dengan menambah bahawa ia sedang meneliti sama ada tindakan itu adalah wajar.
Kilang itu terletak di Esparza, 60 kilometer barat ibu negara Costa Rica, San Jose, yang mana ia merupakan penyedia peluang pekerjaan utama di bandar itu dan kawasan sekitarnya.
Ekonomi Venezuela terjunam dengan teruk sejak 2004, apabila harga minyak dunia jatuh mendadak, di mana ekonomi Venezuela terlalu bergantung pada eksport minyak.
Sejak itu, hiperinflasi terjadi, menyebabkan bekalan makanan asasi dan perubatan menjadi kurang, serta para penjawat awam mendapati jam kerja mereka dikurangkan untuk menjimatkan elektrik. – AFP