MONCURE, NORTH CAROLINA, 30 JULAI – Sebuah syarikat Vietnam yang merancang kilang kenderaan elektrik di tengah North Carolina yang akan menggaji 7,500 pekerja melakar peristiwa penting apabila eksekutif tertingginya menyertai Gabenor Roy Cooper dan yang lain untuk majlis pecah tanah.
VinFast mengumumkan tahun lepas bahawa ia akan membina kemudahan pembuatan pertamanya di luar Vietnam di Chatham County, kira-kira 48 kilometer dari barat daya Raleigh.
Pelaburan AS$4 bilion yang dirancang itu juga akan mewujudkan kilang pembuatan kereta pertama di North Carolina dan projek pembangunan ekonomi terbesar di North Carolina yang disokong kerajaan yang melibatkan pewujudan pekerjaan, menurut saluran berita.
(Selama) ‘berpuluh tahun kami mahukan sebuah syarikat kereta di North Carolina, dan awda tahu, seseorang mencari kami. Kami hanya menunggu pasaran EV itu,” kata Cooper pada acara pada Jumaat.
VinFast, yang membuat SUV elektrik sepenuhnya, menyasarkan untuk membuka sebuah kilang pembuatan dan pemasangan pada 2025 dengan kapasiti pengeluaran awal sebanyak 150,000 kenderaan setiap tahun.
Syarikat itu telah menyerahkan pelan tapak kepada kerajaan Daerah Chatham dan menerima permit daerah dan alam sekitar untuk memulakan kerja.
“Projek kami mewakili pelaburan yang besar dan kami berbangga untuk mewujudkan beribu-ribu pekerjaan di sini di North Carolina, tetapi kami percaya pengiktirafan yang kami terima di sini melangkaui angka dan mencerminkan cita-cita bersama yang kami semua impikan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif VinFast, Le Thi Thu Thuy pada majlis pecah tanah pada Jumaat. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/P14-4-Firma_31072023.jpg)