JEDDAH, ARAB SAUDI, 5 JULAI – Roberto Firmino menandatangani kontrak dengan Al-Ahli semalam untuk menjadi bintang terbaharu menyertai Liga Pro yang menguntungkan di Arab Saudi.
Penyerang Brazil itu meninggalkan Liverpool pada penghujung musim lalu selepas tempoh lapan tahun, yang menyaksikan dia menjulang setiap trofi kelab utama.
Kini, pada usia 31 tahun, dia akan menyertai bintang-bintang bola sepak terkemuka lainnya di Arab Saudi ketika negara yang kaya dengan minyak itu memulakan kempen hebat untuk menaikkan profil liganya.
“Saya sentiasa bermain untuk pasukan besar, kini saya berada di Al-Ahli,” kata Firmino dalam video yang disiarkan di Twitter oleh kelab itu sempena mengumumkan perpindahannya.
Al-Ahli, yang berpangkalan di Jeddah, telah pun menandatangani bekas penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy di luar musim ini.
Ia adalah salah satu daripada empat pasukan yang baru-baru ini berada di bawah pemilikan Dana Pelaburan Awam negara itu.
Pasukan Liga Pro Saudi yang lain telah mendapatkan pemain bintang seperti Karim Benzema, N’Golo Kante, Kalidou Koulibaly dan Marcelo Brozovic. Cristiano Ronaldo memulakan trend apabila dia menyertai Al-Nassr pada Januari.
Firmino memenangi Liga Juara-Juara, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Liga Inggeris bersama Liverpool. Gelaran lain termasuk Piala Dunia Kelab dan Piala Super Eropah. – AP
Bersama Brazil dia memenangi Copa America pada 2019. – AP
