Firmino suntik semangat Liverpool

LONDON, 22 Mei – Roberto Firmino (gambar bawah) berada di landasan terbaik untuk cergas bagi final Liga Juara-Juara menentang Tottenham selepas kembali menjalani latihan di Marbella sejak terlepas tiga aksi terakhir Reds dalam kempen Liga Perdana susulan masalah paha.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan Brazil itu berupaya mengambil bahagian dalam sesi pertama kem latihan pra-final, hari ini yang meletakkannya di landasan untuk aksi di final yang dijadual 2 Jun ini di Madrid.

Penyerang Liverpool itu menjadi pemain pertama yang tiba di pantai selatan Sepanyol itu untuk menjalani beberapa sesi individu bersama kakitangan perubatan dan pemulihan kelab.

Selepas terlepas menjulang trofi Liga Perdana, skuad kendalian Jurgen Klopp seramai 26 pemain memperuntukkan selama enam hari di Marbella sebelum kembali ke England bagi mengakhiri persiapan untuk menjulang kejuaraan keenam Reds di pentas Eropah.

“Firmino hari ini menjalani latihan bersama rakan sepasukannya selepas menghadapi kekejangan otot yang menghalangnya bermain pada tiga perlawanan terakhir Liverpool,” kata pasukan itu dalam laman web rasmi mereka.

“Pemain Brazil itu mengambil bahagian pada sesi pertama Reds di kem latihan di Marbella pada pagi Selasa dalam usahanya untuk mendapatkan kembali kecergasan penuh.

“Beliau bekerjasama dengan staf perubatan kelab bagi pemulihannya daripada masalah dan pembabitannya dalam latihan penuh pasukan akan dipantau secara berhati-hati di bawah penelitian mereka, dengan program istimewa dirancang untuk beberapa hari akan datang.”

Turut terbabit dalam kem latihan Reds ialah pemain tengah Guinea, Naby Keita, yang meneruskan pemulihannya susulan mendapat kecederaan pangkal paha serius kira-kira tiga minggu lalu. – AFP