“Awak salah guna kuasa sebagai suami tu, bro,”.
Demikian kata pelakon, Fizo Omar mengenai luahan seorang wanita mengenai suaminya yang sanggup menjatuhkan talak jika dia mengambil vaksin.
Dalam hantaran di Instagram, Fizo berkata, sekiranya seseorang itu berpegang dengan prinsip untuk menolak vaksin, tidak perlu sehingga menjatuhkan talak kepada isteri.
“Kalau betullah wujud suami begini. Saya tak boleh sentuh pasal hukum, tetapi sebagai lelaki, awak salah guna kuasa.
“Kalau ya awak antivaksin sekalipun, bukanlah sampai tahap jatuh talak,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Fizo juga berkongsi ilmu yang pernah dia tanyakan kepada ustaz dan jabatan agama mengenai pengambilan vaksin.

“Mengenai vaksin ini, memang bukan paksaan dan hak individu itu sendiri. Tapi, saya pernah tanyakan kepada ustaz dan jabatan agama.
“Sekiranya kita tak ambil dan keputusan kita itu boleh membahayakan dan memudaratkan orang lain, hukumnya haram di sisi agama kita. Itu apa yang saya diberitahulah,” tulisnya.
Tambahnya lagi, vaksin yang digunakan sudah mendapat pengiktirafan daripada pihak-pihak berwajib.
“Lagi pun, pihak berwajib agama dan kesihatan di negara kita dan seluruh dunia sudah pun mengiktiraf serta mengesahkan vaksin ini halal. Ia harus diambil.
“Persoalannya, kenapa masih wujud lagi isu antivaksin ini. Kalau masih ingat, sejak kita lahir, berapa jenis vaksin sudah pun disuntik dalam badan kita.
“Alhamdulillah, sampai sekarang Allah masih bagi nikmat kehidupan sihat ini. Allah suka melihat hambaNya ikhtiar dan berusaha untuk menempuhi du-gaan yang dihantar kepada kita semua,” katanya.
Menutup hantaran dibuat itu, Fizo mengajak pengikutnya agar menyerahkan segala ketentuan kepada Allah. – Agensi