Pelakon dan pengarah filem Mat Tudung Begins, Datuk Fizz Fairuz memasang impian agar buah tangan pertamanya itu dapat mengecap kejayaan sama seperti filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang berjaya meraih jumlah kutipan hampir RM100 juta.
Menurut Fizz, tidak salah untuk seseorang itu mempunyai angan-angan demi menggapai kejayaan.
“Untuk menghasil filem ini, saya ada buat sedikit kajian dan bertanya kepada orang ramai mengenai trend filem Malaysia masa kini. Apa sebenarnya yang mereka mahukan.
“Mungkin filem ini boleh berada di tangga kedua di belakang filem Mat Kilau. Mana kita tahu. Mungkin boleh sampai RM95 juta. Itu hanya sasaran. Angan-angan tak perlu bayar.
“Apa yang saya buat, mesti kena ada target. Saya buat cerita ini untuk orang-orang yang perlukan hiburan. Orang ramai ketika ini sudah muak dengan politik dan hal ekonomi,” katanya kepada Media Hiburan.
Lantaran itu, suami kepada pelakon, Datin Almy Nadia itu berharap agar kuasa media sosial sedikit sebanyak dapat mempromosikan filem yang menelan belanja RM1.2 juta.
“Sewaktu filem Mat Tudung 2014, saya, Izzue Islam dan Nelydia Senrose belum terkenal pun lagi. Kami masih baru dalam industri. Media sosial pun tak serancak sekarang.
“Jadi, bila media sosial sudah menjadi semakin pesat, segalanya boleh dilakukan di hujung jari dan kemudian menjadi trend. Jadi, saya memang mengharapkan kuasa media sosial.
“Oleh itu, seiring perkembagan industri hiburan serta kuasa warganet, insyaAllah filem ini akan berhasil. Paling sedikit pun boleh cecah RM10 juta,” kongsinya lagi. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P17-A_07082023.jpg)