Pelakon Malaysia, Datuk Fizz Fairuz memaklumkan kontraknya sebagai penyampai radio di Suria FM berakhir hari ini.
Fizz atau Fairuz Zainal Abidin, 46, memberitahu selepas meninggalkan stesen berkenaan dan memberitahu bahawa dia akan memberikan fokus kepada keluarga dan anak-anak.
Menurut Fizz, dia kasihan melihat pengorbanan isteri iaitu pelakon, Almy Nadia, yang terpaksa menguruskan anak-anak bersendirian.
“Pada awalnya saya memang ikat kontrak setahun sahaja dengan Suria FM dan atas kepercayaan Kak Lin (panggilan DJ Lin) dia tambah lagi kontrak selama enam bulan.
“Saya rasa cukup rasanya untuk tempoh satu tahun enam bulan ini sebab anak saya masih kecil. Saya juga uruskan anak-anak, kasihan kepada isteri yang terlalu sibuk,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Fizz berkata sepanjang perkhidmatannya di Suria FM, dia banyak menimba pengalaman baharu dan ia merupakan satu memori terindah yang akan sentiasa diingati.
Tambahnya, selepas ini dia mahu kembali aktif meneruskan kerjaya seni sebagai pelakon.
“Hari ini (Jumaat) tanggal 18 Julai saya sign off daripada menjadi penyampai Suria FM. Saya ambil pendekatan untuk sama-sama berkorban, insha-Allah rezeki itu ada di mana-mana. Jadi saya mahu kembali dalam dunia seni untuk berlakon drama dan filem.
“Tempoh satu tahun enam bulan saya bersama Suria FM, pengalaman baharu Alhamdulillah saya sudah pelbagaikan darah seni saya. Satu memori yang saya akan ingat sampai bila-bila.
“Insya-Allah kalau ada rezeki dalam bidang lain atau saya masih meneruskan kerjaya lakonan, saya terima sahaja lihat nanti macam mana,” ujarnya.
Ditanya bagaimana reaksi rakan penyampai radio Ajak dan Kai selepas pengumuman menamatkan perkhidmatan dibuat, Fizz berkata kedua-dua rakan kerjanya itu terkejut dengan keputusan dibuat.
Namun kata aktor berkenaan, mereka terpaksa akur dan menerima segala kententuan yang sudah ditetapkan. – Agensi

